TEMAN

Jumaat, 8 Ogos 2008

Ibuku seorang pembohong ???

Untuk renungan!!!

Ibuku seorang pembohong ???

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang
seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi
saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian..


Cerita ini bermula ketika saya masih kecil.Saya lahir sebagai seorang anak lelaki
dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.
Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." - PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa
sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu
membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah,esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." -PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi
ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" -PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik
yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya,
ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi
agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan
mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan
abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di
rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah
dan bersengkang mata untuk mencari duit.
Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke
pasar setiap pagi menjual sedikit sayur
untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak
dan abang yang bekerja jauh di kota besar
sering mengirimkan wang untuk membantu
memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu
tetap berkeras tidak mahu menerima wang
tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang
itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah,
ibu ada duit." - PEMBOHONGAN IBU YANG
KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya
melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat
sarjana di luar Negara. Pengajian saya di
sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah
syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi
dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja
dengan syarikat yang telah membiayai
pengajian saya juga di luar negara. Dengan
gaji yang agak lumayan, saya berhajat
membawa ibu untuk menikmati penghujung
hidupnya di luar negara. Pada pandangan
saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk
kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan
penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya
ini ibu habiskan dengan keceriaan dan
keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati,
menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu
menyusahkan anaknya ini dengan berkata ;
"Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di
negara orang." - PEMBOHONGAN IBU YANG
KETUJUH.


Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua..
Suatu malam saya menerima berita ibu
diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah
secepat mungkin. Saya yang ketika itu
berada jauh diseberang samudera terus
segera pulang untuk menjenguk ibunda
tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah
di katil hospital setelah menjalani
pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua,
menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman
biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan
sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya..
Saya dapat melihat dengan jelas betapa
seksanya penyakit itu telah memamah tubuh
ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan
kurus. Saya menatap wajah ibu sambil
berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu
kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya.
Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit
sekali melihat ibu dalam keadaan seperti
ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata
: "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." -
PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.





Setelah mengucapkan pembohongan yang
kelapan itu, ibunda tercinta menutup
matanya untuk kali terakhir kali.





Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan
ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh
menelefonnya sekarang, dan berkata,
'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah
yang amat sangat kerana biarpun saya
mengasihi ibu lebih dari segala-galanya,
tapi tidak pernah sekalipun saya
membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu,
sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya
yang terakhir.





Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails