TEMAN

Ahad, 8 Februari 2009

Sambutan ‘Raya Cina’ dengan adik kandung yang terpisah 36 tahun

Sambutan ‘Raya Cina’ dengan adik kandung yang terpisah 36 tahun

MENYAMBUT perayaan Tahun Baru Cina selepas memeluk Islam sejak 13 Julai 2007, tidak memberikan apa-apa perubahan kepada pelakon dan jurutari profesional Corrie Lee atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 41.

Bagi Corrie, beliau masih lagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarganya di Taiping, Perak pada setiap tahun.

"Saya masih lagi menyambut perayaan TBC dengan keluarga pada setiap tahun. Walaupun saya seorang Muslim, tiada jauh bezanya tentang perayaan tersebut kerana saya tetap merasa gembira seperti ahli keluarga saya yang lain.

"Cuma apa yang membezakannya adalah dari segi makanan dan cara mereka menyambutnya," ulas Corrie yang telah mendirikan rumahtangga dengan Fazema Mohd Fuad, 30, pada 21 November tahun lalu.

Untuk perayaan TBC hari ini, Corrie membawa pulang isterinya ke kampung halaman bagi meraikan bersama-sama keluarganya.

CORRIE membawa pulang isteri tercinta, Fazema Mohd Fuad ke kampungnya di Taiping untuk sama-sama meraikan Tahun Baru Cina

"Tahun ini gembira sedikit kerana saya membawa isteri berjumpa dengan ibu saya. Ibu saya pun tidak sabar untuk bertemu dengan menantunya. TBC tahun ini ibu saya sudah berpesan awal-awal lagi supaya kami balik untuk meraikannya bersama-sama.

"Mungkin kami akan meluangkan masa kira-kira tiga hingga empat hari sahaja kerana banyak kerja yang kami terpaksa lakukan di Kuala Lumpur.

"Pada tahun ini, tiada banyak beza tentang sambutan perayaan ini dengan sambutan tahun lepas cuma kelebihannya pada kali ini sebab saya meraikannya bersama isteri dan saya juga teruja untuk menyambutnya sebab masing-masing tak sabar nak berjumpa antara satu sama lain.

"Adik-beradik pun ada yang turut serta dan ada yang tidak kerana giliran beraya dengan keluarga sebelah pasangan masing-masing,” ujar anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Jumpa adik kandung selepas 36 tahun terpisah

Selain daripada itu, Corrie juga bakal berkongsi kegembiraannya dengan adik kandungnya yang terpisah sejak 36 tahun dahulu.

SAMBUTAN Tahun Baru Cina tahun ini lebih bermakna apabila Corrie menyambutnya dengan adik kandung, Shahrizah Hussein yang telah terpisah selama 36 tahun

"Pada Oktober lalu, saya telah berjumpa dengan adik kandung saya yang keenam iaitu Shahrizah Hussein, 36, kerana dia dijaga oleh keluarga Melayu.

"Sebelum ini saya tahu yang saya mempunyai seorang adik lelaki tetapi hal ini senyap begitu sahaja. Keluarga saya pun tidak berusaha untuk mencari," luah Corrie.

Corrie mengklasifikasikan jejak kasih beliau dengan adiknya itu ibarat "Lain yang dicari, lain yang didapatnya" kerana pertemuan mereka berlaku dalam keadaan tidak dirancang.

"Ikutkan saya nak mencari kawan baik saya iaitu Rahim melalui temubual di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro kerana dia merupakan orang pertama yang membawa saya ke masjid.

"Di dalam temubual itu, hos waktu itu memberikan peluang kepada saya untuk memberikan kata-kata akhir jadi saya gunakan kesempatan itu untuk mencari rakan saya yang terpisah.

"Jadi, yang membuatkan saya terkejut adalah bukan kawan saya yang muncul sebaliknya adik saya.

"Adik saya ini telah dibesarkan oleh sebuah keluarga Islam," cerita Corrie yang merasakan kegembiraannya berganda apabila dapat membawa pulang isteri dan adik kandung sekaligus untuk menyambut perayaan TBC pada hari ini.

Empat jam ‘soal siasat’ adik kandung

Bercerita mengenai jejak kasih antara Corrie dan Syahrizah, beliau pada mulanya sukar untuk mempercayai yang pemuda tersebut adalah adik kandungnya kerana terdapat kekeliruan pada namanya.

"Selama empat jam juga saya berborak dengan Syahrizah dan dua hari selepas itu, saya membawa dia berjumpa dengan abang sulung dan adik-beradik yang lain.

"Semasa kenduri kahwin saya di Kuala Lumpur tahun lalu, ikutkan semua adik-beradik ‘turun padang’ termasuk Syahrizah melainkan abang ketiga saya yang bekerja sebagai polis di Bukit Aman kerana berada di Eropah," ujar Corrie yang bakal muncul dengan drama bersiri Kasarin, Gerak Khas: Transaksi dan telefilem Tuntutan Maut untuk TV3.

1 ulasan:

  1. salam persinggahan,
    36 tahun suatu tempoh yang terlalu panjang untuk suatu perpisahan. hampir seusia dgn perjalanan hidup saya. semoga pertemuan Corrie dengan adik kandungnya itu akan dapat mengeratkan tali kekeluargaan yang telah terpisah sekian lama.

    BalasPadam

link

Related Posts with Thumbnails