TEMAN

Sabtu, 8 Ogos 2009

Libas ala Shaolin Soccer, fantasi sepaktakraw



REGU MALAYSIA ANTARANYA BEEGO (KIRI) DAN ROSYAM NOR (KANAN) MEMPAMERKAN SENI SILAT Melayu DALAM AKSI UNIK SEPAK TAKRAW MEREKA.


ROSYAM Nor, Bola Raga Pusaka Kesultanan Melaka kurun ke-15 dan satu nama yang seperti pernah didengari di arena sepak takraw - Adnan Saladin?

Tidak cukup lagi? Pertarungan sepak takraw yang digabungkan seni bela diri, aktres jelita Scha beraksi selaku tekong dan regu Thailand yang ganas tetapi sebenarnya sekumpulan gay!

Elemen pelik tetapi kreatif ini ditampilkan dalam filem baru bertema sukan sepak takraw - Libas arahan Jurey Latiff Mohd. Rosli yang baru selesai menjalani penggambarannya pada pertengahan bulan lalu sekitar Lembah Klang dan Terengganu.

Diilhamkan daripada filem Hong Kong dibintangi Stephen Chow, Shaolin Soccer, filem pertarungan sepak takraw-seni bela diri ini bakal menyuntik semula populariti sukan gelanggang warisan ciptaan orang Melayu ini seperti pada 1985 hingga 1993 menerusi Kejohanan Sepak Takraw Dunia MAS-Utusan Malaysia-RTM.

Ia mengisahkan Adnan, Raja Libas (Rosyam) sudah tidak boleh beraksi lagi di gelanggang sepak takraw kerana kakinya telah ditempangkan oleh regu Thailand lakonan Propchai (ADAM CORRIE, bekas koreografer Akademi Fantasia), Pratapol (Yusuraiza) dan Aknangkorng (Zek Zamri Gerak Khas) serta Topap dalam satu perlawanan tahun sebelumnya.


REGU THAILAND YANG TURUT DIBARISI KOREY (BERLUTUT) DAN ZEK ZAMRI GERAK KHAS MENERAPKAN UNSUR MUAY THAI DALAM PERTARUNGAN SEPAK TAKRAW BAWAH TANAH, Libas.


Adnan yang berasa amat bersalah kerana telah berpakat dengan musuh untuk memberikan kemenangan mudah malah sehingga tekongnya mati diracun dengan bola ke dada, kini cuba membentuk regu baru dengan mengambil Megat (Beego), Kumo (Mohd. Fazli), Hamadi (Johan Raja Lawak) selain Ratna (Scha).

Mereka digambarkan sebagai tidak berbakat bermain sepak takraw, berbadan gempal serta kekurangan serba-serbi tetapi ditugaskan untuk mempertahankan bola raga pusaka itu yang turut diintai orang putih, Mr. Wilson (Johan Abdullah) - pengumpul barang antik terkenal dari Amerika Syarikat.

Malah jika regu Adnan kalah, Bola Pusaka akan menjadi milik Thailand buat selama-lamanya dan regu Gajah Putih itu berhak ditabalkan selaku pencipta sukan ini namun dalam pertarungan kemuncak itu, mereka berentap hebat hingga ke mata penghabisan demi mempertahankan maruah negara masing-masing.

Kata Jurey Latiff, "filem ini menjalani penggambaran dari 9 Jun hingga 12 Julai dengan 90 peratus di Lembah Klang dan selebihnya di Terengganu. Ia menelan kos RM1.7 juta, menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dan bakal ditayangkan sebelum Mei tahun depan.

"Ia agak menyimpang daripada perlawanan sepak takraw biasa kerana perlu disuntik elemen rekaan, kesan khas dan CGI tetapi menggabungkan corak aksi, komedi, romantik dan sukan selain memiliki sindiran politik semasa dunia menerusi kehadiran regu negara lain," katanya yang mengakui mendapat restu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).


JEPUN ditampilkan sebagai regu ninja yang turut bersengketa politik dengan korea selatan sehingga terbawa-bawa ke gelanggang Libas.


"Turut diambil sebagai penyelaras dan penasihat aksi asas sepak takraw dalam filem ini ialah pelibas yang juga apit kanan pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006, Mohd. Azlan Abd. Mubin dan bekas pemain kebangsaan, Firdaus Ghani," kata karyawan cereka TV, Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan, Suara Dari Kubur, Ibu Ampunkan Aku dan Idris Beca ini.

"Kehadiran regu China, Korea Selatan, Jepun, India, Iraq dan Amerika Syarikat pula ditampilkan sebagai pejuang ideologi politik negara yang perlu dilunaskan dalam Libas, pertarungan sepak takraw di gelanggang bawah tanah.

"Lebih 200 pelakon utama, sokongan dan tambahan membintangi Libas. Kami turut mengagumi kesungguhan Rosyam dalam menjiwai dan menjayakan watak Adnan Saladin walaupun jadual hariannya padat selaku pengacara siri TV, Pilih Kasih dan Fenomena Seni malah sehingga tercedera bahu ketika penggambaran," katanya.

Penerbit Libas, MDAG Marketing Sdn. Bhd. juga berhasrat mengadakan satu pertandingan sepak takraw terbuka secara besar-besaran sebagai langkah mempromosi filem dan sukan ini dengan kerjasama PSM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan kesemua penggiat dan pencintanya dari setiap zon - Timur, Utara, Tengah, Barat dan Selatan dengan berakhir di ibu kota.

Sedutan filem Libas ini juga boleh disaksikan dengan melayari www.mdag.com.my





Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails