TEMAN

Khamis, 24 September 2009

Tahun ini raya berdua - Harian Metro




Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
24 September 2009
5 Syawal

Tahun pertama Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007, dia menjalani ibadah puasa dan berhari raya berseorangan. Terdengar lagu raya dan takbir pada pagi raya, dia menangis kerana tiada siapa menemaninya pada hari umat Islam meraikan detik kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

"Tak tahu ke mana hendak dituju, saya pergi beraya di rumah emak angkat, Fauziah Nawi. Berkumpul bersama keluarganya gembira sedikit. Itulah rumah pertama dan terakhir saya beraya tahun lalu. Selepas itu, saya habiskan raya pertama duduk di rumah saja.

"Alhamdulillah, tahun ini saya dapat berpuasa dan berhari raya bersama isteri. Bangun sahur ada yang kejutkan dan Fazima selalu tanya saya hendak makan apa.

"Saya tidak cerewet, makan apa saja yang dimasaknya. Waktu bersahur, saya tidak mengambil makanan berat cukup sekadar makan roti cecah sup cendawan, telur separuh masak atau telur campur madu.

"Fazima pula hanya makan kurma dan minum susu. Kehidupan kami berdua sangat ringkas dan seadanya saja. Yang penting sudah ada orang yang mengambil berat dan menenangkan hati saya di kala kerunsingan," katanya.

Walaupun baru kali kedua Corrie menyambut Ramadan, dia sudah biasa berpuasa sebelum mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT lagi kerana pekerjaannya sebagai anak seni sentiasa dikelilingi rakan artis beragama Islam.

Zaman kecilnya pun dia mempunyai ramai kawan Melayu dan belajar berpuasa bagi menghormati rakan Muslim yang berpuasa. Biasanya Corrie berpuasa pada hari pertama dan terakhir tetapi ada juga berpuasa pertengahan Ramadan.

"Saya berazam menjadi Muslimin yang taat kepada suruhan Allah Yang Esa. Menjadi kemestian saya bersolat jemaah dengan isteri walaupun kami berada di lokasi penggambaran. Rasa lebih tenang dapat beribadah dengan isteri.

"Syukur ibu bapa mentua (Mohamad Fuad Ngah Ibrahim dan Kamariah Jamaluddin) sangat baik dan memahami saya. Mereka juga banyak mengajar saya mendalami ajaran Islam. Kakak Fazima yang juga ustazah banyak membantu saya memahami selok-belok agama Allah ini. Mereka juga mengerti pahit getir saya sebagai anak seni," katanya yang balik beraya di kampung isterinya di Alor Star, Kedah.


Dalam kegembiraan bercerita mengenai puasa dan hari raya, Corrie sempat meluahkan rasa terkilannya dengan dunia seni yang diceburinya lebih 10 tahun lalu.


"Bukan saja bermasalah pasal bayaran tetapi produser dan pengarah juga macam tidak menghargai bakat lakonan saya. Sepuluh tahun dalam bidang seni, bayaran masih di takuk lama dan cuma diberi watak kecil. Belum pernah saya diberi watak utama atau pelakon pembantu".

"Jika ada yang sudi memberi peluang, pasti saya dapat membuktikan kemampuan diri. Saya memang tidak popular tetapi ramai yang kenal. Wartawan banyak membantu meletakkan saya dalam kedudukan yang selesa," katanya.

Corrie aktif berlakon sebelum menjadi koreografer untuk AF2 dan AF4 lagi tetapi ketika itu kurang dikenali ramai. Selepas muncul dalam AF, barulah orang tahu siapa Corrie Lee. Selepas itu, banyak juga dapat tawaran berlakon drama dan filem.

Luah Corrie, bayaran diterima tidak setimpal pengalaman yang ada. Apabila berlakon filem, bayaran yang dapat macam berlakon drama juga.

"Apa yang buat saya kecewa, adakala produser belum berbincang harga dengan saya, sudah kata mahal. Harga boleh dirunding. Jika agak mahal sekali pun, ia bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman saya.

"Jika diberi watak jahat, saya reka sendiri aksi pergaduhan itu, tidak perlu upah orang lain. Sepatutnya saya boleh minta bayaran berasingan untuk khidmat itu tetapi sayang sekali produser dan pengarah tidak pernah memikirkannya.

"Saya pun hendak hidup senang juga. Ada kereta mewah, rumah besar dan boleh bawa isteri mengerjakan umrah dua kali setahun. Saya teringin hendak jadi macam Rosyam Nor yang sudah kaya raya sekarang.

"Sudah berlakon berpuluh filem dan beratus drama tetapi bayaran jarang bertambah. Pelik kenapa produser terlalu berkira dengan saya.

"Stesen televisyen pun tidak ambil saya koreograf lagi dengan alasan mahal, sedangkan mereka tidak bertanya kepada saya pun berapa bayarannya. Hanya dengar cakap orang atau membuat andian sendiri. Apabila mereka dengar mahal, terus ambil orang baru," katanya.

Meskipun dihimpit duka dan kecewa tidak pernah mematahkan semangatnya kerana sayangkan kerjaya seninya itu. Apa yang dia mahukan timbang rasa dan sedikit penghargaan daripada produser serta pengarah.







Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails