TEMAN

Jumaat, 9 Oktober 2009

Majalah Seri Dewi & Keluarga : Oktober 2009

Tiga hari berkenalan - Corrie nekad lamar Fazima


Setiap orang ada kisah cintanya. Bagi pelakon dan penari, Adam Corrie, kisah cintanya memang menarik. Bayangkanlah, baru tiga hari berkenalan dan bersua muka, hatinya terus terdetik untuk melamar si kekasih hati, Fazima Fuad.

“Saya kenal isteri saya melalui kawan baik saya yang kebetulan rapat dengannya. Masa itu saya baru beberapa hari balik dari umrah. Waktu saya berbual dengannya, masa itulah dia kata mahu kenalkan saya dengan seorang kawan,” cerita Corrie sambil anak matanya melirik ke arah isteri yang tersenyum manis di sisi. Tambah Corrie, sebaik sahaja memperoleh nombor telefon daripada kawannya, dia terus menghubungi Fazima. Ketika itu, dia memperkenalkan dirinya sebagai Adam. Memandangkan kakak Fazima mengadakan rumah terbuka pada keesokan hari, jadi, mereka kemudian merancang untuk bertemu di sana.

“Ramai orang pada masa itu. Jadi kami borak pun tak banyak. Tapi awal-awal lagi dia dah bagi tahu saya jangan merokok di depan keluarganya. Saya hormati keputusannya. Jadi apabila saya berjumpa dengan keluarganya sampailah sekarang, saya memang tidak akan merokok. Selepas hari tu, saya ada ajak dia keluar lagi,” terang Corrie lagi sambil tersenyum. Corrie memberitahu, hatinya tergerak untuk melamar Fazima pada hari ketiga mereka berkenalan.

“Masa 3 Ramadan tu dia cakap dengan saya yang dia minatkan saya. Malam itu juga saya buat sembahyang istikharah. Selepas itu barulah saya cakap dengan mak. Dan akhirnya kami bagi tarikh untuk meminang. Semasa bertunanglah kami berkenal-kenalan,” terang Fazima mesra. Walaupun baru berkenalan, Corrie akui dia memang nekad melamar Fazima ketika itu. Menurut Corrie, dia tertarik hati dengan wanita itu kerana melihat keimanan dan ketakwaan yang ada padanya, apatah lagi ketika itu dia baru sahaja memeluk Islam.

Sembilan bulan mendirikan rumah tangga, Corrie dan Fazima tampak cukup serasi dan bahagia meskipun perkenalan mereka baru sahaja hendak mencecah usia setahun. Jelas Corrie, mereka suami isteri gemar melakukan banyak perkara bersama termasuklah mengemas dan mengecat rumah mereka sendiri. Setiap kali berada di lokasi penggambaran, Corrie juga pasti akan ditemani Fazima. “Saya bawa dia sebab saya hendak dia tahu macam mana saya bekerja. Biar dia faham,” beritahu Corrie. Sambungnya, dia tidak peduli kalau ada orang yang hendak mengatanya. Bagi Corrie, tidak ada salahnya dia membawa isterinya bersama. Setidak-tidaknya, ada juga orang yang sudi meneman dan membantunya di set penggambaran.

“Saya ikut dia 24 jam. Bila dia free, saya buat kerja saya sendiri. Memang tujuan saya hendak membantunya. Dia masih baru dalam Islam. Jadi saya boleh tegur dia kalau ada silap. Mula-mula dulu memang letih. Tapi taklah bosan. Bagi saya tidak ada ruginya kalau saya ikut. Bila saya ada, perempuan lain pun tak jadi nak ganggu dia. Kehadiran saya boleh membantu menjaga rumah tangga kami,” tokok Fazima ketawa kecil. Katanya, dia mula menemani suaminya awal tahun lalu semasa penggambaran filem Rempit. Tokoknya, tidak lama lagi Corrie akan sibuk dengan sesi penggambaran Misteri Jalan Lama yang merupakan sebuah filem fantasi.


Bersama pasangan suami isteri ini seterusnya di dalam SDK keluaran terbaru ini.



Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails