TEMAN

Selasa, 16 Mac 2010

Bravo Lima bukan sekadar filem


Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2010/03/15

Usaha untuk dokumentasi perjuangan anggota tentera

KALI terakhir filem yang mengangkat kisah angkatan tentera pada tahun 2000 iaitu Leftenan Adnan arahan Aziz M Osman, pahlawan Melayu yang bermati-matian mengekang kemaraan tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.
Manakala filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981 pula memaparkan keberanian pasukan polis mempertahankan balai mereka daripada ditawan komunis ketika zaman darurat. Menyedari sudah lama tidak ada lagi filem seumpamanya dihasilkan, Karya Prima Production Sdn Bhd dengan sokongan padu daripada Kementerian Pertahanan dan Tentera Darat Malaysia menerbitkan berlatar belakang kehidupan sebenar insan yang menjadi benteng keselamatan negara berjudul Bravo Lima.

Filem itu diarahkan oleh Fauzi Nawawi. Antara barisan pelakon yang membintangi filem Bravo Lima itu nanti ialah Hattan, Fizz Fairuz, Zul Huzaimi, Shashi Tharam, Adam Corrie, Frenkey, Fran Peterson, Kamal Adli dan Lisdawati serta Azee Yahaya.

Memahami filem ini memerlukan stamina yang tinggi kerana bakal melakukan aksi lasak dan pantas, lima pelakon diarahkan menjalani latihan intensif sebagai mana latihan sebenar komando selama dua minggu di Kem Sungai Udang, Melaka.

Ia sebagai langkah persediaan awal sebelum menjalani penggambaran filem ketenteraan Bravo Lima. Selepas itu, filem ini akan mula menjalani penggambaran bermula pada 10 April di Melaka, Tapah, Perak dan Mersing, Johor.
Pengerusi Eksekutif, Karya Prima Production, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor berkata, penerbitan Bravo Lima bukan sekadar filem semata-mata tetapi ia juga adalah usaha untuk mendokumentasikan kisah perjuangan anggota tentera dalam menentang pengganas komunis yang jarang mendapat perhatian penerbit filem tempatan.

“Tidak ramai yang menyedari pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjuang selama ini menentang komunis semata untuk mencapai kemerdekaan negara. Penerbitan filem ini juga menjadi cabaran kepada kami untuk menunjukkan bukti latar belakang sejarah negara ke layar perak.

“Sebagai langkah awal, lima pelakon utama yang memegang watak sebagai komando akan diberi latihan intensif sebagai komando untuk menguji ketahanan mental dan fizikal sebelum penggambaran sebenar berjalan.

“Namun latihan yang diberikan itu bukanlah latihan yang 100 peratus seperti komando sebenar tetapi asas utama saja. Sebagai pelakon mereka mempunyai tanggungjawab untuk menggambarkan keadaan sebenar sejarah untuk mencapai kemerdekaan,” katanya pada sidang media pelancaran filem Bravo Lima.

120 anggota tentera terbabit

Sementara itu, Fauzi berkata, kekuatan filem Bravo Lima bergantung kepada gabungan pelakon dan aksi daripada 12 pelakon lagak ngeri yang di bawa daripada Singapura dan China.

“Ini adalah filem pertama arahan saya dan memang sangat teruja untuk membawa filem ini bertaraf antarabangsa. Sebanyak 65 hingga 70 peratus adalah aksi yang akan menggunakan khidmat 120 anggota tentera dari ATM sendiri untuk menjayakan filem ini.

“Selain itu elemen dramatik, percintaan, kasih sayang, komedi, pengorbanan tidak lari diselitkan di dalamnya.

“Kita juga akan memaparkan pelbagai senjata tentera yang tidak pernah ditunjukkan yang sebelum ini pernah menjadi rahsia kerajaan kerana keselamatan negara. Namun kini kerajaan sudah meluluskan dan kita boleh menunjukkan senjata itu di dalam filem ini.

“Kita turut mendapat khidmat nasihat dan panduan sepenuhnya daripada ATM untuk menggunakan apa saja jenis kenderaan tentera untuk merealisasikan filem ini demi mencapai setaraf Hollywood,” katanya yang akan menggunakan berpuluh kenderaan tentera termasuk sebuah kereta api yang akan diletupkan.

Penulis skripnya Bravo Lima, Mejar Zainal Hayat berkata, sebelum dibawa ke lokasi untuk memulakan penggambaran, skrip ini sudah dirombak sebanyak 26 kali bagi mendapatkan kualiti dan keaslian cerita yang ingin disampaikan.
“Saya mengambil masa agak lama untuk menyiapkan skrip ini. Draf pertama saja mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan iaitu sejak Jun 2007.

“Draf ini kemudiannya diserahkan kepada Finas untuk mendapatkan pandangan dan beberapa cadangan. Saya juga mendapatkan khidmat nasihat daripada sahabat saya dari Hollywood dan struktur penceritaannya tidak jauh daripada filem terbitan Hollywood.

“Kami juga berbangga apabila penerbitan filem ini mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada ATM, Finas dan sebagainya bagi memperbanyakkan lagi filem berunsur kenegaraan diterbitkan,” katanya.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM4.5 juta termasuk kos promosi dan penjelajahan ke seluruh negara turut melancarkan sekali soundtrack Bravo Lima yang akan dinyanyikan oleh Hattan dan komposernya Edry Hasyim.






Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails