TEMAN

Khamis, 18 Mac 2010

Skuad elit takraw tumpu Piala Malaysia, Raja Thai

18 mac 2010

Oleh FERZALFIE FAUZI


Azlan Ghazali (tiga dari kanan) dan pelakon yang membintangi filem 'Libas' menunjukkan trofi kejohanan Piala Raja Libas di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Sasaran besar skuad elit sepak takraw ialah meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia Guangzhou November depan, tetapi mereka perlu menyelesaikan tugas penting dalam saingan Piala Malaysia dan Raja Thai terlebih dahulu.

Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, berkata, melihat kepada latihan dan semangat baru pemain kebangsaan yang disenaraikan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk pemainnya menyerlah di kedua-dua kejohanan tersebut.

"Walaupun kita tewas kepada Laos pada Sukan SEA tahun lepas, orang lain perlu sedar bahawa kita masih lagi kuasa No. 2 sukan ini.

''Saya yakin banyak perubahan yang dilakukan oleh skuad kebangsaan sekarang ini untuk kembali beraksi mantap," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Piala Raja Libas semalam.

Jelasnya, pemain yang sedang menjalani latihan sekarang mempunyai cita-cita yang tinggi dan sudah pasti akan memberi tamparan hebat buat musuh tradisi, Thailand yang akan menggandakan usaha mereka.

"Saya lihat persediaan mereka (pemain kebangsaan) kali ini jauh lebih baik, berbanding sebelum ini, mereka sentiasa berusaha keras.

"Saya puas hati dengan komitmen yang diberikan mereka sekarang, ini kerana mereka sedar sasaran utama selepas dua kejohanan tersebut ialah Sukan Asia, di mana kita telah mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu pingat emas," katanya.

Kata Ahmad, sebelum beraksi cemerlang di Sukan Asia, pemain perlu bersedia dan dua kejohanan tersebut menjadi medan penting buat mereka dalam masa yang sama melihat persediaan pasukan lawan.

"Selepas Piala Malaysia pada bulan Jun ini di Terengganu, pemain akan beraksi di Korea Selatan terlebih dahulu sebelum kembali beraksi di Piala Raja Thai, kalau boleh saya hendak mereka cemerlang di Piala Malaysia.

"Mungkin kita akan memberi laluan kepada Thailand di Piala Raja Thai dan kembali berada di puncak dalam Sukan Asia pula, tetapi semua perancangan ini masih belum disahkan lagi, kami masih lagi di peringkat perbincangan," katanya.

Ditanya mengenai gabungan pemain baru dan lama mampu untuk mengembalikan kembali kegemilangan sepak takraw Malaysia, Ahmad berkata, beliau tidak risau tentang kemahiran pemain tetapi kekuatan mental yang sering menjadi penghalang utama di kejohanan besar.

"Daya kekuatan mental mereka agak lemah jika beraksi di kejohanan besar, tetapi saya yakin dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam persiapan kali ini, pemain mampu mengetepikan masalah tersebut.

"Seperti yang saya katakan tadi kita memang amat memerlukan pendedahan perlawanan, jadi dua kejohanan tersebut adalah medan terbaik untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan yang kuat," katanya.

------------------------------------

Piala Raja Libas cungkil bakat baru sukan takraw

KUALA LUMPUR - Sukan sepak takraw bakal dimeriahkan lagi dengan kemunculan kejohanan baru, Piala Raja Libas 2010 yang bakal diadakan Mei depan.

Kejohanan antara regu itu bakal dianjurkan oleh MDAG Marketing Sdn. Bhd. dengan objektif mencungkil bakat baru dan menyemarakkan sukan tersebut ke peringkat akar umbi.

Menurut Pengarah Urusan MDAG Marketing Sdn. Bhd., Azlan Ghazali, kejohanan tersebut dianjurkan sempena tayangan filem Libas (terbitan MDAG).

"Saya berharap kejohanan ini akan menjadi platform untuk menggalakkan golongan muda bermain sepak takraw dan mengembalikan semula kegemilangan sukan ini," katanya dalam sidang media selepas pelancaran kejohanan itu, semalam.

Jelasnya, dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 kejohanan itu sudah tentu dapat menarik penyertaan regu besar dari seluruh negara.

"Saya berharap kejohanan ini akan terus kekal di masa akan datang dan bukan sekadar dianjurkan sempena tayangan filem Libas," katanya.

Sementara itu, Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, penganjuran kejohanan tersebut disifatkan sebagai tanggungjawab sosial masyarakat bagi memajukan sukan Sepak Takraw.

"Bukan PSM sahaja yang perlu mengangkat martabat sukan ini tetapi orang ramai juga perlu melibatkan diri bersama-sama.

"PSM berjanji akan memberi sokongan penuh kepada kejohanan ini dan biarlah ia diadakan setiap tahun," katanya.

Kejohanan itu bakal bermula dari Mei hingga Disember depan dengan pusingan awal dipecahkan kepada lima zon.

Johan dan naib johan zon timur, utara, tengah, selatan dan Sabah/Sarawak bakal berentap di grand final yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Ia terbuka kepada pemain yang bermastautin dan bekerja di zon berkenaan sahaja.

sumber dari : utusan malaysia
Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails