TEMAN

Jumaat, 27 Ogos 2010

“Puasa bukan beban” - Sinar Harian


Sinar Harian, 25 Ogos 2010

Ibadah puasa bukanlah satu bebanan bagi mualaf seperti Adam Corrie Lee Abdullah yang sudah memeluk Islam sejak tiga tahun lalu. 

Tanpa berselindung, pelakon dan pereka tari yang mesra dengan panggilan Adam Corrie ini memberitahu, banyak perbezaan nikmat dan rasa berkat yang dirasainya selepas memeluk Islam. 

Adam Corrie mengaku, Ramadan sememangnya sangat dinanti-nantikan kerana bulan yang suci ini penuh dengan fadilat dan keberkatan Allah SWT. 

“Saya telah mula belajar berpuasa ketika kecil lagi kerana mempunyai ramai rakan Muslim. 

“Tapi, ketika itu, saya tidak dapat merasakan nikmat sebenar dan betapa berkatnya menunaikan rukun Islam ketiga ini. Pernah saya berputus asa, kerana tidak sanggup menahan lapar hingga ke petang. 

“Namun, pengalaman mendewasakan kita, bila hati saya semakin dekat dengan Islam, saya sendiri begitu teruja untuk meraikan ketibaan Ramadan dan mahu memperbanyakkan ibadat kerana fadhilat-fadhilat yang dijanjikan pada bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. 

Adam Corrie, dia juga berusaha untuk memenuhi solat tarawih yang sudah menjadi kelaziman seluruh umat Islam sepanjang bulan mulia ini. 

Namun, sebagai manusia biasa, dia ada kalanya tidak mempunyai kesempatan untuk menunaikan ibadah sunat itu kerana terikat dengan komitmen lain. 

“Tahun ini, baru tiga kali saya tertinggal solat tarawih kerana komitmen dengan penggambaran. Insya-Allah saya akan cuba melengkapkan solat tarawih hingga hujung Ramadan ini,” katanya. 

Lebih bermakna, ini adalah kali kedua Adam menyambut bulan mulia ini dengan kehadiran isteri tercinta, Fazima Fuad yang menjadi pelengkap sisi kehidupannya. 

Malah, wanita itu jugalah yang banyak memberikan sokongan untuknya terus mendalami Islam dan menjadi mukmin yang sejati. 

“Seronok dapat sambut puasa dengan isteri, kerana segalanya sudah uruskan. Soal juadah berbuka dan bersahur, saya memang tidak cerewet dan makan apa sahaja yang ada di depan mata. 

“Isteri memang suka memasak, tapi bulan puasa ni tak sempat sangat nak memasak. Jadi kami lebih senang berbuka di luar atau beli di bazar Ramadan. Lagipun kami hanya berdua sahaja,” katanya yang turut mengidam cahaya mata. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, Adam berkata dia dan isteri telah membuat persiapan awal agar tidak terkejar-kejar nanti. 

“Sebelum puasa lagi kami dah beli baju raya. Pada raya pertama tahun ini, kami memilih warna biru sedondon, dan ada beberapa pasang lagi baju untuk dipakai ketika menziarahi rumah saudara mara dan ke majlis rumah terbuka,” katanya yang akan beraya di kampung isterinya di Alor Star, Kedah. 

Menyentuh mengenai juadah hari raya,  Adam 
Corrie berkata, dia amat menggemari lemang dan rendang. Malah, ia sudah menjadi juadah kemestiannya di pagi raya.

Photobucket




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails