TEMAN

Selasa, 21 September 2010

Nikmat Syawal cukup dirasai




Nikmat Syawal cukup dirasaiOleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/09/12


ADAM Corrie bahagia bersama Fazima yang banyak memberi semangat dan sokongan dalam menjalani ibadat puasa.


Corrie akui betapa Aidilfitri saat menyeronokkan selepas tabah harungi ibadat puasa

DALAM segala hal, Adam Corrie Lee Abdullah, 42, lebih suka bersederhana. Begitu juga dengan sambutan Aidilfitri yang disifatkan sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa bukannya waktu untuk membazir atau berlebih-lebih. Bagi mualaf yang sudah tiga kali menyambut hari raya itu, saat paling ditunggu-tunggu pastinya Ramadan apabila berpeluang menyempurnakan ibadah puasa selain mengambil keberkatan bersahur dan berbuka ditemani isteri, Fazima Mohamad Fuad, 32. Biarpun jadual penggambaran bersusun sepanjang bulan puasa ini tanpa mengira lokasi dan waktu, pelakon yang juga koreografer mengakui masih mampu meneruskan puasanya di atas galakan isteri selain yakin ganjaran besar menanti insan yang sabar. 

“Syukur sepanjang sebulan ini rezeki saya dipermudahkanNya. Tawaran tidak putus malah seakan mengikut turutan membuatkan saya merebut peluang yang datang. Walau memenatkan terutama apabila menjayakan aksi lasak, sehingga kini puasa saya belum ‘kantoi’. 

“Cuma nyaris ketika penggambaran telefilem Tujuh Lagu membabitkan babak aksi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, saya hampir menyerah kalah kerana tekak cukup kering tetapi kehadiran isteri yang menasihatkan supaya bersabar menahan dahaga hanya dalam tiga jam lagi membatalkan niat awal,” katanya sambil melirik Fazima. 

Selain Tujuh Lagu arahan Khabir Bhatia, kelibat Adam sepanjang musim Syawal ini juga dapat diikuti di kaca televisyen menerusi drama berjudul Subahas, Baju Baru Untuk Raya selain telefilem terbitan Mawi World Entertainment, Paknil, Mak Kirim Salam. 
Sekali lagi anak jati Taiping, Perak itu memanjatkan syukur apabila dapat meraih semula kepercayaan penerbit selepas berdepan isu menarik diri daripada membintangi penerbitan sebuah produksi akhir tahun lalu. Ada riak lega pada wajahnya. 

Menyingkap insiden berkenaan, akuinya tanpa berselindung, dia terpaksa menarik diri dan mengemukakan saman terhadap syarikat terbabit berikutan penangguhan jadual penggambaran membuatkannya terlepas banyak tawaran lain sekali gus menyekat mata pencariannya. 

“Jika dulu masih solo mungkin tidak menjadi hal. Kini saya sudah berkeluarga dan jika saya tidak bekerja, siapa mahu menanggung makan minum kami. Malah empat bulan tidak bekerja membuatkan hidup saya kacau bilau, kereta juga nyaris ditarik bank. 

“Namun saya redha kerana mungkin itu cuma secebis ujian Allah buat diri saya. Apa pun ketika itu saya tidak berdiam diri sebaliknya terus berusaha dan kini satu demi satu tawaran diterima termasuk menjayakan sebuah program realiti berunsur pertandingan tarian,” katanya yang pernah menjadi kareografer Akademi Fantasia (AF). 

Walau terharu masih mendapat kepercayaan, jauh di sudut hatinya masih terselit rasa terkilan apabila tenaga kerja sepertinya yang mempunyai kelebihan seperti menari dan pereka aksi lasak masih dianaktirikan malah menerima bayaran rendah, langsung tidak setimpal dengan hasil kerja mereka. 

Katanya lagi, bukan semua syarikat atau produser mengamalkan sikap sedemikian namun jika masih ada pihak tidak mahu ambil peduli membiarkan isu sama berlanjutan tanpa sebarang tindakan, industri dan penggiat seni tentu kekal ditakuk lama tanpa sebarang pembelaan. 

Enggan membiarkan emosi Adam ditenggelami kekecewaan, cerita beralih semula kepada pengalaman menyambut Aidilfitri apatah lagi pernah pada tahun pertama meraikan kedatangan 1 Syawal selepas memeluk Islam, air matanya tumpah sebaik mendengar takbir disebabkan hanya berhari raya seorang diri. 

Kini kesepian sudah lama ditinggal jauh apabila punya peneman di kala susah dan senang yang dinikahi pada 21 November 2008, setahun selepas memeluk Islam malah baginya hari lebaran lebih bererti apabila dapat berhimpun dengan seisi keluarga. 

“Seperti biasa tahun ini kami akan berhari raya dengan keluarga sebelah isteri saya di Alor Star, Kedah. Kami mungkin menghabiskan cuti hingga lima hari di sana sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur untuk memenuhi tugas yang sudah menanti,” katanya lagi yang menggemari rendang ayam masakan si isteri.





Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails