TEMAN

Khamis, 26 Mei 2011

AKAN BERADA DI PAWAGAM JUN 2011



Semakin matang
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2011/05/25





Banyak tampilkan pelakon lelaki, KL Gangster tetap meyakinkan

KEMATANGAN Syamsul Yusof sebagai pengarah berkaliber kian terserlah melalui buah tangan terbarunya, KL Gangster, yang dipersembahkan kepada wakil media Isnin lalu.
Kelegaan begitu jelas terpancar pada wajahnya apabila rata-rata mereka yang menonton memberikan komen positif. Ucapan tahniah bertali arus sebaik selesai sesi pratonton, cukup tidak dijangka anak muda ini kerana projek filem ini hampir terbatal berikutan beberapa masalah yang timbul.



Filem yang menjalani penggambaran selama 38 hari dengan kos pembikinan sebanyak RM2.1 juta itu dibintangi Syamsul sendiri dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran Aaron Aziz, Ady Putra, Zizan Raja Lawak, Shoffi Jikan, Adam Corrie, Ku Faridah, Riduan Hashim dan Sheera Iskandar.

Biarpun sarat dengan aksi pergaduhan, Syamsul bijak mengadun filem itu. Jalan ceritanya tersusun cantik tanpa membuatkan penonton keliru. Selain itu, Syamsul turut menyuntik elemen komedi dan kekeluargaan di dalam filem berkenaan, untuk menjadikannya lebih berwarna-warni.

Anak muda berusia 27 tahun ini juga ternyata berani apabila memaparkan pelakon lelaki sebagai tunjang utama sementara pelakon wanita hanya ditampilkan memegang watak tambahan. Tanpa kehadiran pelakon wanita popular sekalipun, eksperimen Syamsul nyata berjaya.

“Sebelum tayangan filem ini, saya tidak senang hati, bimbang penonton tidak boleh fokus dengan apa yang cuba saya sampaikan. Formula saya setiap kali menghasilkan filem perlu ada elemen emosi. Mungkin kelihatan agak tipikal apabila saya menyelitkan elemen kekeluargaan, tetapi saya cuba mempersembahkan dalam cara berbeza. 
“Ketika menghasilkan filem ini, saya luangkan masa menonton filem The Godfather dan Young & Dangerous untuk dijadikan inspirasi. Saya tidak meniru, sebaliknya saya cuba meneroka apa yang boleh saya lakukan untuk filem KL Gangster.

“Saya juga bertemu dengan samseng untuk mengetahui bagaimana gaya hidup serta cara pertuturan mereka. Malah saya meniru gaya pertuturan kumpulan berkenaan untuk filem ini. Bagaimanapun skrip yang saya hasilkan bersama Rizal Ashref hanyalah draf. Selebihnya diolah oleh pelakon ketika di set. 

"Saya juga seronok dapat bekerjasama dengan pelakon yang membintangi filem ini kerana mereka profesional malah filem ini berjaya disiapkan dalam tempoh agak singkat,” kata Syamsul.

Tertekan harapan peminat

MENGULAS mengenai projek filem terbabit yang hampir dibatalkan, Syamsul menjelaskan, perkara itu timbul kerana kesukaran untuk menyatukan kesemua artis. 

Kesukaran mendapatkan ke semua pelakon secara tidak langsung turut menjejaskan sesi latihan. Syamsul bagaimanapun bersyukur apabila setiap pelakon yang menjayakan filem berkenaan memberikan sepenuh komitmen.

Sesi latihan untuk aksi berlawan dijalankan dalam masa sebulan. Walaupun sudah menjalani latihan, namun masih berlaku kemalangan kecil yang tidak dapat dielakkan. 

Buat kali pertamanya juga, idea membikin filem ini dihasilkan Syamsul tanpa campur tangan bapanya. Memang Datuk Yusof Haslam ada memberikan beberapa saranan, tetapi Syamsul enggan mengikut cadangan bapanya kerana lebih mengetahui keinginan penonton berjiwa muda.

Pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 ini mengakui, trofi diraih sedikit sebanyak membuatkan dia tertekan kerana penonton pasti meletakkan harapan tinggi.

“Saya mengaku memang ada rasa tertekan kerana memikirkan sambutan daripada penonton selepas menonton KL Gangster dan juga tekanan akibat anugerah yang pernah saya menang sebelum ini," ujarnya sambil memberitahu, elemen komedi dan samseng di dalam KL Gangster secara kebetulan mempunyai sedikit persamaan dengan Kongsi terbitan MIG Production, tetapi jalan ceritanya nyata berbeza.

Pemuda itu juga mendedahkan, dia tidak kisah sekali pun penjualan tiket untuk filem terbarunya tidak seberapa. "Malah, saya tak berani nak mensasarkan berapa yang mampu dikutip oleh filem ini. Tetapi saya lebih memerlukan maklum balas baik daripada media dan penonton. Itu sebenarnya lebih bermakna kerana saya mahu perbaiki lagi mutu pengarahan,” katanya yang banyak berkhayal ketika menghasilkan skrip filem ke-27 terbitan Skop Production itu.

Ketika menghasilkan skrip, katanya, tiada pelakon yang dirasakan layak melainkan semua nama yang disebutkan tadi. 

Sementara itu menyentuh mengenai dirinya yang turut terbabit dalam filem itu, Syamsul yang akan menghasilkan prekuel filem itu sedikit masa lagi berkata, dia turut berlakon dalam sesebuah filem jika berasakan watak itu sesuai. Lagipun hanya dengan terus berlakon dia dapat memperbaiki lagi mutu lakonan.

Dalam majlis yang sama, Syamsul turut menafikan dia menggunakan Zizan kerana populariti Artis Komedi Lelaki Popular itu untuk menarik penonton ke panggung. Sebaliknya dia meletakkan watak yang sempoi untuk menceriakan penonton, supaya tidak tertekan dengan aksi lawan.

Sinopsis

KL GANGSTER yang menemui penonton mulai 9 Jun ini mengisahkan dua beradik yang terjebak dalam dunia samseng iaitu Malek dan Jai. Si abang, Malek, merengkuk selama lima tahun dalam penjara kerana dikhianati kumpulannya sendiri.

Setelah dibebaskan, Malek ingin mengubah persepsi masyarakat dan menjauhkan diri daripada kehidupan hitam sebagai anggota kongsi gelap. Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang sudah tua, tetapi sebagai bekas banduan, dia sering dipandang serong oleh masyarakat. Dalam masa sama, dia berdepan masalah moral adik perempuannya, Zati. 





Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails