TEMAN

Ahad, 29 Mei 2011

Corrie wajah gengster terbaik



Corrie wajah gengster terbaik

kosmo.com.my
ahad- 29/5/11

DIA sering memegang watak antagonis. Selama 12 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, itulah label yang paling sesuai diberikan kepada pemilik nama Adam Corrie Lee, 43.

Terbaru, Corrie masih lagi muncul dengan watak jahat menerusi filem arahan Syamsul Yusuf berjudul KL Gangster.
Tidak pernah mengeluh setiap rezeki yang diterima, sebaliknya Corrie berasa wataknya menggambarkan bahawa dia cukup serasi beraksi sebagai gengster.
Bagaimanapun, secara jujur Corrie sentiasa menantikan tuah namanya itu terpilih melakonkan karakter lelaki budiman.

Akhirnya, baru-baru ini Corrie menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat produksi yang mahukan dia memegang watak yang berlainan.

AKAN muncul dengan filem KL Gangster sebagai Dragon, Corrie bagaimanapun mahu lolos daripada sisi hitam watak jahat untuk sebuah telefilem tidak lama lagi.
“Saya masih menunggu kontrak daripada produksi tersebut. Inilah watak yang paling mencabar yang pernah saya terima kerana perlu melakonkan watak seorang lelaki baik.
“Ringkasnya, saya akan memegang watak lelaki mualaf yang berdakwah dan mampu memberi bimbingan kepada seorang lelaki beragama Islam.
“Memang watak kali ini agak lain kerana saya boleh membayangkan bahawa segala tingkah laku dan nada suara perlu diubah.
“Saya juga perlu banyak membuat rujukan kerana bukan mudah menjadi lelaki mualaf dalam karakter yang sedemikian rupa.
“Mungkin bulan Ogos nanti penggambaran akan bermula,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Di sebalik keghairahannya menceritakan watak baru yang sekian lama diidamkan, sebenarnya Corrie ada berbalut kisah duka.
Dia bersedia berkongsi tetapi dalam masa yang sama tidak mahu disalah anggap semata-mata dahagakan perhatian orang ramai.
Suami kepada Fazima Mohd. Fuad, 32, itu bersyukur kerana kesusahan yang dialaminya sebelum ini beransur pulih. Corrie mengakui bahawa kehidupannya setahun lalu begitu sulit memandangkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan.
“Bayangkan setahun saya tidak ada kerja. Sedangkan saya perlu memikul pelbagai komitmen hidup seperti bayaran rumah dan kereta,” jelas Corrie.
Apabila dikenangkan kembali, firasat Corrie cukup kuat merasakan kekosongan tawaran lakonan mula tercetus apabila berlaku sedikit salah faham antara dirinya dengan sebuah rumah produksi.
“Sudah lima tahun saya bekerja dengan produksi tersebut. Suatu hari saya ada mengusulkan soal bayaran. Entah kenapa, sejurus saya usulkan soalan itu, pihak produksi terus memarahi dan menghalau saya.
“Seingat saya, itulah kali pertama saya mengajukan soalan sebegitu. Saya sekadar bertanya bukannya meletakkan harga bayaran kepada mereka,” terangnya sedikit kesal.
Mengenangkan susah payah melalui liku hidup tanpa pendapatan, rumahnya pernah diketuk oleh individu yang ingin menarik kenderaan akibat tunggakan bayaran berbulan-bulan.
Bila berhadapan dengan situasi itu, dia agak tertekan tetapi masih boleh mengawal perasaan.
“Duit simpanan memang sudah habis. Dengan bantuan isteri dan keluarga, kami mampu menanggung masalah itu dengan baik,” ujarnya ringkas.
Dalam hatinya, mujurlah ada isteri yang memahami situasi naik turun karier seorang pelakon.
Cabaran hidup yang diduga itu kembali membuatkan Corrie dan isteri mengukir senyuman. Ini kerana kelebihan isterinya yang berbakat dalam pembuatan mufin mendapat sinar baharu.
Sebelum ini, isterinya hanya menjalankan tempahan kek cawan menerusi laman sesawang www.fazicakes.com, namun menerusi kenalan adiknya, Corrie ditawarkan mengambil alih perniagaan menjual mufin di premis yang terletak di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
“Teruk juga bila fikir macam mana untuk membuat pinjaman bank. Sebanyak empat buah bank menolak permohonan kami. Tanpa rasa malu, saya meminta pertolongan dari segi nasihat dan panduan perniagaan daripada bapa mertua.
“Mereka yang banyak membantu kami sehingga berjaya mempunyai kedai mufin sendiri yang dibuka pada Februari lalu.
“Tetapi keuntungan belum banyak lagi, cukup sekadar bayar gaji pekerja dan sewa premis,” katanya yang kini mampu tersenyum apabila Just Muffin berupaya menawarkan 35 perisa mufin.



Photobucket

1 ulasan:

  1. terbaik!:) memang sesuai watak camtuu~ lau orang dah cakap camtu kire watak yang dipegang oleh beliau mang berhasil la kan?:)

    BalasPadam

link

Related Posts with Thumbnails