TEMAN

Sabtu, 24 Disember 2011

3 TAHUN? CEPATNYA MASA BERLALU

Macam semalam je baru akad nikah, rupa-rupanya dah 3 tahun dah rumah tangga kami terbina.  tersenyum sorang-sorang bila ingatkan baik bagaimana berkenalan, dilamar,  dirisik, bertunang, akad nikah dan bersanding. 




Panggil sayang selepas bernikah



PERCANTUMAN kasih sayang yang terpaut di jiwa pasangan ini bagaikan cinta kilat. Muncul secara tiba-tiba tanpa diduga, lantas mengakhiri perhubungan di gerbang perkahwinan.
Begitulah rentetan ceritera cinta koreografer terkenal, Corrie Lee atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee hingga selamat diijab kabul dengan gadis pilihannya, Fazima Mohamed Fuad di Masjid Zahir, Alor Star 21 November lalu.
Mengimbas semula kisah percantuman dua jiwa antara mereka, Fazima, 30, memberitahu, hubungannya bersama Adam bermula pada 29 Ogos lepas setelah diperkenalkan oleh seorang teman.
"Saya dapat panggilan daripada seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Adam dan mahu bertemu dengan saya. Disebabkan ada hal dan sibuk menjaga anak saudara, saya menolak pelawaan itu dengan baik.
"Namun, lelaki tersebut begitu teringin berjumpa saya. Lantaran itu, saya terus beritahu Adam, kalau dia betul-betul nak jumpa dengan saya juga, dia kena datang ke rumah kakak saya yang terletak di Batu Caves, Selangor.
BAKAL berbulan madu selepas pulang dari mengerjakan umrah.


"Pada tarikh 30 Ogos, pada malam kemerdekaan, kami mula bertemu. Kali pertama lihat muka pemuda itu, saya kelihatan cukup terkejut kerana dia adalah lelaki yang terkenal serta sentiasa keluar di kaca TV.
"Lain benar hati saya ketika itu. Manakan tidak, memang saya tak pernah terfikir untuk berkenalan dengan golongan artis.
"Lagipun saya memang tak mahu selebriti jadi suami kerana saya lebih suka orang biasa dan tidak dikenali," akui Fazima sewaktu ditemui dalam majlis persandingan mereka di Keramat baru-baru ini.
Antara rakan artis yang turut hadir ialah Datuk Yusof Haslam bersama isteri, Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Ellie Suriati Omar, Jimmy Shanley, Siti Hajar, Mubarak Majid dan Diddy AF4.
Menyambung bicaranya, beritahu pereka grafik bebas ini, "Daripada perasaan kurang gemar, sedikit demi sedikit rasa kurang enak itu terhakis setelah menatap ketulusan hati Adam.
"Setelah mendengar Adam berborak dan menunjukkan sikap positif, saya mula pertimbangkan mengikut segala pandangan.
"Tiga hari kemudian, kami keluar bersama untuk mengenali lebih rapat lagi di antara satu dengan lain. Kalau tidak silap, waktu itu adalah hari ketiga umat Islam berpuasa.


"Selepas itu, saya mula menerima Adam dalam hidup saya setelah melihat dengan jelas sikap dan personaliti dirinya.
"Masuk hari ketujuh mengerjakan ibadah puasa, Adam mula melamar saya untuk dijadikan sebagai insan istimewa dalam hidupnya.
"Hari ke-17 Ramadan kami mengikat tali pertunangan sebagai tanda kami betul-betul komited dengan perhubungan ini yang baru nak berputik ini," jelas Fazima yang sempat mengerling manja Adam.
Mimpi duduk atas air
Si mempelai lelaki yang asyik terdiam sejak awalnya mula menyelit sambil beranggapan bahawa jodohnya dengan Fazima memiliki perkaitan cukup rapat dengan satu insiden, berlaku semasa dia berada di Madinah.
"Setelah mengerjakan solat, saya mimpi duduk atas air dan secara tiba-tiba ada ikan putih berada berhampiran dengan saya.
"Saya cakap dalam hati, alangkah bagus dapat ambil ikan itu. Tak lama kemudian, saya nampak sauk. Dengan secepat kilat saya terus ambil ikan itu gunakan sauk yang ada di tangan.
"Ada rakan yang cakap, kiranya mimpi itu jadi alamat bahawa jodoh saya akan sampai. Alhamdulillah, mimpi itu jadi realiti," jelas Adam terus mengucap perasaan kesyukuran.
Sambung Adam yang segak berpakaian raja sehari, relevan dia dan Fazima mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dalam waktu singkat kerana dia sendiri sudah bersedia untuk bergelar suami.
YUSOF sekeluarga dan Rosyam Nor, antara yang hadir pada hari kebesaran Adam.


"Ikutkan hati memang dah lama saya rancang nak mendirikan rumah tangga, cuma belum bertemu dengan wanita istimewa saja lagi.
"Lagipun sebagai artis yang menjadi tumpuan masyarakat, saya rasa lebih baik untuk bertunang dulu kerana nak elak peminat cakap yang bukan-bukan.
"Kalau kami keluar ke sana ke mari, takut jadi buah mulut ramai pula. Jadi lebih baik kami adakan majlis bertunang dahulu.
"Lepas itu, kalau kami nak keluar sama, ia tak jadi sebarang masalah atau cakap buruk daripada peminat kerana kami dah bertunang dan ada ikatan sebelum mendirikan rumah tangga," akui Adam sambil tersenyum manis.
Adam yang cukup sinonim sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) memberitahu, setelah bertunang serta selesa hidup bersama sebagai pasangan, akhirnya dia nekad untuk mengahwini Fazima.
"Setelah berbincang dengan keluarga Fazima, saya pun rancang untuk bernikah pada 21 November lalu.
"Syukur sangat sebab semua perkara baik yang dirancangkan ini berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah.
"Setelah bergelar suami, saya akui tanggungjawab lebih besar berbanding zaman solo sebelum ini.
"Amanah itu dilihat menjadi lebih berat disebabkan saya perlu bergelar ketua keluarga, malah memimpin isteri ke jalan yang diredai oleh Allah Taala.
"Bukannya sembarangan, tugas sebagai suami memang tidak mudah untuk dilaksanakan, namun saya kini seronok kerana seluruh kehidupan saya mula berubah dengan kehadiran wanita bernama isteri," ungkap Adam.
Ditanya tentang keistimewaan Fazima sehingga dia tertarik dengan wanita itu, beritahu Adam, isterinya adalah seorang yang begitu mesra dan punya beberapa kelebihan lain yang sukar dicari dalam kualiti seorang wanita.
ADAM mengakui kini memikul tanggungjawab besar sebagai seorang suami.


"Fazima juga menerima saya seadanya, tanpa pandang saya adalah saudara baru dan diskriminasi sebab saya artis.
"Saya juga tak pernah jumpa dengan wanita yang betul-betul membuatkan saya selesa dan tenang apabila bersama.
"Hari demi hari kami berkenalan, perasaan sayang saya mulai bertambah terhadap Fazima yang dapat ceriakan hari saya.
"Saya tak pernah panggil Fazima sayang sebelum ini hinggalah saat selepas kami sah bernikah.
"Itupun saya rasa janggal sebab kami tak biasa membiasakan diri dengan panggilan sedemikian," jelas Adam yang mahukan sepasang cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama si isteri.
Tidak cemburu membabi-buta
Bagi Fazima, dia melihat kualiti diri Adam sebagai saudara baru yang ingin belajar bermacam perkara hingga melebihi daripada manusia yang dilahirkan sebagai Islam sendiri.
"Saya tahu tanggungjawab saya sebagai isteri kepada suami yang merupakan saudara baru adalah berat.
"Justeru, saya akan ajar juga beberapa perkara lain yang tak diketahui Adam dalam Islam mengikut pengetahuan yang saya ada selama ini.
"Kalau nak katakan tentang kelebihan Adam, saya melihat dia sebagai lelaki yang budiman, malah mengambil berat terhadap diri saya dan keluarga," luah Fazima yang anggun mengenakan busana pengantin rekaan Cosry.
Menjadi isteri kepada individu yang terkenal, sudah tentulah memberi tekanan kepada si isteri, lebih-lebih lagi kalau masih belum dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru itu.
Begitupun, Fazima tidak memandang perkara itu sebagai satu masalah utama dalam perhubungan bersama Adam yang baru hendak bermula di garisan awalan ini.


"Saya tak anggap perkara ini sebagai beban. Lagipun saya baru kenal Adam dan beberapa kali saja keluar bersama.
"Tak tahulah kalau selepas ini pula, namun saya tetap akan memahami kedudukan Adam sebagai orang yang dikenali di Malaysia.
"Kalau dia menari dengan wanita lain, saya tak akan rasa cemburu membabi-buta sebab saya tahu cara kerja dia.
"Memanglah Adam akan menari serta bersentuhan dengan wanita, cuma saya berharap dia tahu batasan sebagai umat Islam dalam lakukan setiap perkara.
"Asalkan dia (Adam) sedar perkara itu, saya okey saja dan tak ambil sikap nak marah tak tentu pasal," luah Fazima yang amat memahami situasi kerja Adam sebagai seorang koreografer.
Pasangan ini akan mengerjakan umrah pada 4 April tahun depan dan selepas itu barulah mereka memikirkan untuk berbulan madu dalam negara.
"Kami rancang nak berbulan madu dalam Malaysia saja sebab banyak lagi tempat menarik di sini yang kami belum sampai," tutur Adam tertawa.

Photobucket



2 ulasan:

  1. semoga ikatan yg dibina berkekalan ke syurga..amin...:)

    BalasPadam
  2. Terima kasih dan insya'allah :) itu yg kita semua inginkan dalam hidup kita semua

    BalasPadam

link

Related Posts with Thumbnails