Sudah enam tahun memeluk Islam, ia tidak bermakna pemilik nama Adam Corrie Lee, telah melupakan perayaan yang diraikan bangsanya sendiri.

Malah setiap tibanya Tahun Baharu Cina, pelakon Gerak Khas dan KL Gangster 2 ini tidak akan ketinggalan meraikannya bersama keluarga, terutama ibu tercinta.

Menurut Adam, seluruh ahli keluarganya sangat memahami dan tidak pernah menyisihkannya walaupun sudah memeluk agama Islam.

Katanya, setiap kali perayaan, dia dan isteri akan dijemput untuk makan besar pada malam perayaan. Malah sehingga kini dia tidak melupakan upacara 'Yee Sang' yang menjadi tradisi masyarakat Cina.

"Keluarga saya memang sangat terbuka, menerima saya dan isteri (Fazima Mohd Fuad). Begitu juga dengan ibu saya yang sememangnya baik dengan isteri. Tak ada pilih  kasih. Semua sama saja. “Sejak lima tahun lalu, saya akan menyambut Tahun Baharu Cina bersama mereka. Masing-masing sudah faham dan mereka akan mengasingkan hidangan atau bekas yang digunakan kerana menghormati saya dan isteri,” katanya.

Menurut Adam, disebabkan sefahaman dan hubungan kekeluargaan yang tinggi menyebabkan dia dan keluarga sangat rapat dan sering berkumpul walaupun bukan pada  hari-hari perayaan.

Bagaimanapun, berbeza dari  tahun-tahun sebelumnya, kata Adam, tahun ini dia tidak dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu tersayang.

Jelas Adam, tahun ini ibunya berada di rumah adiknya di Singapura dan meraikan Tahun Baharu di sana.

“Agak ralat juga, tak dapat bersama ibu. Namun, kami semua yang berada di Kuala Lumpur akan makan malam dengan ibu mertua masing-masing dan jika tak keberatan mungkin kami akan menyambutnya bersama  dengan makan di luar atau masak beramai-ramai di rumah,” katanya yang terkilan kerana tidak dapat melakukan upacara 'Yee Sang' bersama ibunya.

Dalam pada itu, Adam memberitahu, Tahun Baharu kali ini dia juga  berkesempatan meraikannya bersama teman baiknya yang juga seorang mualaf yang baru dikenali. “Dia baru saja memeluk Islam dua tahun lalu, namun keluarganya memang sangat  terbuka malah, turut menjemput saya untuk menyambut Tahun Baharu bersama,” katanya.

Idam cahaya mata Lima tahun mendirikan rumah tangga bersama Fazima, Adam mengakui masih menantikan kehadiran cahaya mata. Adam yang percaya dengan ketentuan dan rezeki dari ALLAH tidak pernah merungut, sebaliknya reda dengan ketentuan Ilahi.

Jelas Adam, dia yakin ALLAH SWT tetap ada perancangan dan aturan terbaik untuknya. Bahkan, dia percaya dan tak pernah berputus berusaha dan mengharapkan sesuatu yang terbaik dari ALLAH SWT.

“Mungkin belum masanya lagi untuk saya menimang cahaya mata. Saya dan isteri tak pernah putus berdoa, kami akan tetap berusaha dan ikhtiar. Insya-ALLAH akan adalah nanti saya minta semua orang juga doakan saya dan isteri,” katanya yang sangat sukakan kanak-kanak.

Bosan jadi 'samseng'

Menyentuh kerjayanya sebagai pelakon, Adam baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kapsul dan masih menunggu tayangan filem baharunya bersama Metrowealth International Group (MIG) berjudul Kitai dan akan memulakan penggambaran bersama KRU studios untuk filem Cicakman The Movie 3.

Menurutnya, walaupun dia masih diberikan watak yang sama namun dia tidak menolak kerana itu adalah rezekinya. Bagaimanapun, dia masih mengharapkan diberikan peluang untuk mencuba watak yang lain.

“Saya tak boleh memilih watak. Nak tak nak, saya kena terima juga watak yang diberi. Cuma, saya harap mereka bagi saya peluang untuk membawa sesuatu watak yang belum pernah saya cuba.

“Supaya saya boleh kembangkan watak bukan hanya boleh bawa watak ‘gangster’,” katanya.

Menafikan dirinya bosan dengan watak samseng, Adam cuma mahukan kelainan.

Sebelum ini, ada beberapa produser yang berani memberikan watak-watak berlainan seperti mualaf menerusi Aku Bukan Julaibib.

Dalam perkembangan lain, Adam juga mengakui dia sudah berhenti untuk menerima tawaran kareografi disebabkan perkara tersebut boleh memberikan impak kepada agama.

“Saya masih terima undangan untuk menjadi juri bagi kareografi tapi saya dah berhenti mengajar kareografi.

“Bila saya mendapat tahu ia tak sesuai dan elok mengajar wanita menari dan sebagainya, saya mengambil keputusan ini,” katanya.

'Team' lagak ngeri

Mengulas mengenai perancangannya pada masa depan, Adam berkata, dia dalam proses perbincangan untuk melibatkan diri secara profesional dalam bidang aksi lagak ngeri.

Menurut Adam, lepas sambutan tahun baru ini, dia akan mencari studio untuk menubuhkan syarikat di bawah Adam Corrie Stunt Team untuk mengembangkan lagi kemahirannya dalam bidang perniagaan pula.

“Bagi saya ini adalah minat saya. Saya dan rakan-rakan lain akan menggerakkan kumpulan ini selepas ini,” katanya.