TEMAN

Jumaat, 11 Julai 2014

Membeli sambil beramal - KL RAYA FEST 2014





Perniagaan dan amalan sedekah sudah sinonim dalam kehidupan kita. Apabila sahaja kedengaran orang dalam kesusahan, pasti pertolongan dihulurkan selagi mana ada hebahan mengenai kekurangan atau kesusahan dalam masyarakat.
Sudah banyak bukti yang menyerlahkan kemurahan hati rakyat negara ini apatah lagi di bulan mulia seperti Ramadan ini.
Matlamat sama cuba dipenuhi melalui penganjuran KL Raya Fest 2014, yang bukan menjual untuk ke arah keuntungan semata-mata, bahkan lebih penting memberikan sebahagiannya kepada Tabung Amal KL Raya Fest untuk disalurkan kepada badan-badan amal Love Kemboja, Love Tanzania, dan Love Rohingya.
Bazar besar-besaran itu bakal menghimpunkan 300 usahawan dalam talian dalam satu bumbung.
Idea dan inspirasi penganjuran KL Raya Fest 2014 adalah cetusan daripada sekumpulan penggiat fesyen yang diketuai oleh Kimi Iskandar Ismail dan Yusri Ismail di bawah label Mood Republik.
Kimi Iskandar berkata, festival yang mengetengahkan usahawan-usahawan dalam talian dari seluruh negara itu akan diadakan di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 dan 20 Julai ini, bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.
“Kami merasakan penganjuran acara yang melibatkan kerja amal adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian secara serius terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini.
“KL Raya Fest 2014 ini akan menjadi satu platform pembangunan ekonomi umat Islam yang berniaga dan dalam masa sama membantu insan-insan lain yang sangat memerlukan bantuan.

KL Raya Fest 2014 turut mendapat sokongan selebriti tempatan.


“Secara tidak langsung kami membawakan konsep sedekah secara ikhlas daripada semua vendor yang terlibat di mana mereka boleh memberikan sumbangan ikhlas untuk disalurkan kepada badan-badan amal kami," katanya dalam sidang media KL Raya Fest 2014, baru-baru ini.

Tambah Kimi Iskandar, mereka menyasarkan jumlah kutipan amal sebanyak RM100,000 daripada vendor-vendor terlibat.
Beliau percaya jumlah tersebut mampu dipenuhi jika sasaran 100,000 pengunjung dapati dicapai dalam masa dua hari bazar berlangsung.
Bagi peminat fesyen muslimah, katanya, ini adalah peluang yang sangat praktikal dan ekonomi bagi menyediakan kelengkapan Syawal kerana mereka tidak perlu ke pelbagai lokasi berbeza bagi mendapatkan jenama-jenama pilihan.
Dalam pada itu, Kimi Iskandar berkata, bazar ini merupakan gandingan pertama yang menghimpunkan pelbagai jenama perniagaan dalam talian daripada fesyen lelaki, wanita, dan kanak-kanak, beg tangan, aksesori hingga kepada makanan, serta produk kecantikan.
Menurutnya lagi, selain butik pakaian Cala Qisya, Radiusite, dan Bella Ammara, acara itu turut mengetengahkan usahawan dalam talian yang membawa jenama-jenama daripada selebriti terkenal tanah air dengan seperti Adam Corrie ,  Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Aida Khaleeda, Zoey, Ustaz Don, dan Prof.Muhaya.

Selain aktiviti jualan di bazar, KL Raya Fest 2014 turut meraikan anak-anak yatim untuk berbuka puasa, bertarawih dan membeli kelengkapan Syawal.

Sementara itu, wakil badan Rohingya Education Centre Pulau Pinang (REC), Azlina Abd. Aziz ,yang hadir pada majlis tersebut gembira kerana badan naungannya terpilih menerima kutipan dana.

Katanya, REC bertanggungjawab membela anak-anak pelarian Islam Myanmar yang menetap di Malaysia dengan menyediakan bantuan persekolahan dan pembelajaran melalui penubuhan dua buah sekolah di Klang, Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, jika di negara-negara luar badan-badan kebajikan bukan Islam yang mengambil alih kebajikan anak-anak Rohingya.

“Rakyat Malaysia sepatutnya memandang serius perkara ini kerana Malaysia merupakan antara negara Islam yang menjadi contoh yang baik kepada negara-negara Islam yang lain.
“Anak-anak Rohingya di sini sebahagian besarnya akan tinggal di Malaysia selama-lamanya. Jika tidak diberikan pendidikan sewajarnya akan timbul masalah sosial pada kemudian hari kerana mereka hanyalah pelarian yang tidak layak mendapat kemudahan, pekerjaan, dan pendidikan seperti orang lain.

“Melalui pendidikan yang diberi, sekurang-kurangnya mereka mampu membela nasib bangsa mereka pada masa akan datang.
“Jadi dengan inisiatif daripada Mood Republik diharap dapat membantu anak-anak ini mendapat kemudahan sekurang-kurangnya dengan menyediakan pendidikan kepada mereka
“Tidak ada ruginya jika kita berbelanja untuk dunia dan akhirat, di dunia kita dapat membantu orang yang memerlukan manakala di akhirat kelak ia sebagai balasan kepada diri kita sendiri juga," kata Azlina.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140708/ke_04/Membeli-sambil-beramal#ixzz379gldg2x © Utusan Melayu (M) Bhd 


Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails