TEMAN

Selasa, 8 Julai 2014

‘Sampai kiamat pun tak habis’

‘Sampai kiamat pun tak habis’







BENARLAH kata orang, di sebalik kejayaan setiap lelaki, ada wanita berdiri yang mendorong di belakang. Begitu jugalah situasi yang dialami oleh pelakon dan koreografer, Adam Corrie Lee.

Aktor berusia 45 tahun itu banyak berhutang budi kepada isterinya, Fazema Mohd Fuad lantaran sering mengajaknya ke majlis ilmu selain berusaha membimbing dirinya ke arah yang lebih baik.

Jelasnya, biarpun dia adalah khalifah dalam keluarganya, namun perkara itu tidak menjadi satu hal yang berbangkit buatnya.

"Isteri adalah individu yang banyak membimbing dan mengajar saya. Soal siapa yang membimbing, itu bukanlah persoalannya. Apa yang penting adalah usaha kita hendak belajar.

"Inilah kelebihan ilmu ALLAH SWT," katanya ketika ditemui selepas sidang media Fitrah Ramadan 2014, baru-baru ini.

Adam yang memeluk Islam sejak 2007 memberitahu, sebagai inisiatif dalam mendalami ilmu Islam, dia menyertai Usrah Fitrah sejak dua tahun lalu.

"Sepanjang tempoh dua tahun di Usrah Fitrah, pelbagai perkara berkaitan agama yang saya pelajari dan saya masih lagi belajar.

"Terlalu banyak ilmu ALLAH SWT yang perlu dipelajari. Lagi pun, belajar ilmu ALLAH SWT ini, sampai kiamat pun tidak akan habis! " tegasnya.

Pada masa sama, Adam turut berdakwah dengan mengajak selebriti lain menyertai Usrah Fitrah.

"Jika saya ke set penggambaran, saya tidak lupa mengajak artis-artis lain menyertai Usrah Fitrah.

"Ini kerana, banyak manfaat yang boleh diperoleh. Malah, saya puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Alhamdulillah, setakat ini walau sesibuk mana pun saya, saya akan cuba meluangkan masa untuk menghadiri kelas di Usrah Fitrah,” katanya.

Kesal difitnah sebagai ahli Pas

Dalam pada itu, Adam turut meluahkan rasa kesalnya apabila ada stesen televisyen (TV) swasta menyenaraihitamkan namanya gara-gara dia dikatakan sebagai ahli Pas.

"Saya ingin menjelaskan yang saya bukanlah ahli Pas atau parti politik lain. Saya cumalah seorang pelakon.

"Gara-gara saya kerap dilihat dengan berpakaian jubah dan berkopiah, ada yang mengatakan saya kononnya ahli Pas.

"Akibatnya, saya terus digam oleh stesen TV," katanya.

Menurutnya, tuduhan itu sekali gus menimbulkan rasa ketidakpuasan hatinya.

"Mengapa saya terus digam? Mengapa tidak bertanya kepada saya dahulu?.

"Kejadian sebegini bukan baru sekali dua berlaku sebaliknya sudah banyak kali terjadi. Bahkan, produk saya turut mengalami nasib yang sama.

"Sekali lagi, ingin saya tegaskan, saya bukan ahli Pas, tapi saya always pass and never failed," katanya.

Tambahnya, keadaan ini turut menyebabkan dia kurang menerima tawaran lakonan namun, berserah semuanya kepada ALLAH SWT.





Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails