TEMAN

Jumaat, 29 Ogos 2014

Istiqamah Adam Corrie



NORHIDAYYU ZAINAL & FOTO: ROSLI TALIB



SETELAH hampir lapan tahun memeluk Islam, aktor, Adam Corrie Lee Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Corrie mengakui masih giat mendalami ilmu agama sehingga ke hari ini.
Bukan itu saja, pemilik nama asal Lee Choon Kooi ini nekad untuk terus istiqamah terhadap pegangannya itu demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Ketika ditanya mengenai perkembangan dirinya, Corrie menjelaskan dia masih lagi mencuba untuk memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.

"Pertama, semua perkara yang dilakukan haruslah diniatkan hanya kerana ALLAH SWT.

"Kedua, mujahadah atau bersungguh-sungguh dalam penghijrahan selain beramal soleh.

"Tidak cukup dengan beramal, kita juga perlu sentiasa berdoa, bukan saja untuk diri sendiri dan keluarga tetapi juga yang berada di sekeliling kita. Orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong dengan ALLAH SWT," katanya pada Zass.

Kongsinya lagi, dalam penghijrahan, menuntut ilmu adalah penting untuk kita terus memperbaiki diri.

"Ilmu adalah panduan kita dalam hidup menuju ke akhirat kelak. Paling bagus, kerap hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu.

"Akhir sekali, bersyukurlah di atas hidayah dan nikmat yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa.

"Orang yang bersyukur adalah orang yang tidak mengeluh dengan setiap ujian dari-NYA dan melaksanakan semua suruhan-NYA," katanya.

Selain itu, dia juga kini masih lagi mencuba untuk memperbaiki bacaan al-Qurannya.

"Saya masih mencari ruang dan masa yang sesuai untuk saya belajar membaca al-Quran.

"Membaca dan belajar al-Quran perlu benar-benar datang dari dari hati sendiri," katanya.

Tunai impian ke Masjid Al-Aqsa

Suatu ketika dahulu, aktor dan koreografer terkenal, Adam Corrie Lee Abdullah atau Corrie pernah menanam impian untuk ke Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis, Palestin.

Namun, impiannya itu hanyalah tinggal impian memandangkan Palestin kini diserang tentera Zionis Israel membuatkannya tiada keberanian untuk menjejakkan kaki ke sana.

"Masjid Al-Aqsa adalah satu tempat yang saya benar-benar ingin pergi kerana masjid itu ialah kiblat pertama orang Islam.

"Tapi, apabila sudah berperang, ia buatkan saya takut," katanya.

Begitu pun, demi memenuhi hajat seorang hamba ALLAH, Corrie memberanikan dirinya.

"Setelah sekian lama, keinginan itu datang kembali akhirnya. Pada akhir Ramadan lalu, saya ke sana mengikuti produksi program Hajat Ramadan selepas melakukan tiga solat sunat untuk mendapatkan petunjuk ALLAH SWT.

"Alhamdulillah, perjalanan kami ke sana berjalan lancar," katanya.

Ketika ditanya adakah dia turut memboikot produk Israel sebagai tanda protes ke atas kekejaman terhadap masyarakat Palestin, pelakon berusia 47 tahun ini ternyata punya caranya sendiri.

"Ya, saya ada memboikotnya dengan cara saya sendiri. Saya cuba memboikot dari dalam diri saya dulu. Mungkin ada cara hidup saya seperti Israel atau Yahudi yang tidak baik telah saya ikuti.

"Oleh itu, secara berperingkat-peringkat saya cuba memperbaiki gaya hidup itu seperti melakukan ibadat solat," katanya.

Tambah pelakon KL Gangster ini, boikot perlulah dilakukan dengan cara lebih berhemah.

"Terus memboikot dan apa yang saya lakukan, saya tidak lagi membeli produk barangan mereka.

"Tapi, bukanlah dengan cara membakar dan memijak bendera mereka. Sekiranya ada yang berbuat demikian itu adalah hak dan pendirian mereka, tiada siapa boleh menghalang dan mungkin mereka ada alasannya tersendiri.

"Perbuatan sebegitu akan memberikan cerminan yang tidak manis atau tidak elok sebagai Muslim kepada golongan bukan Muslim yang selalu memerhati Islam atau yang cuba mendekati Islam," katanya.

Pelakon Spinnng Gasing itu memberitahu Islam adalah agama kesejahteraan dan indah.

"Boikotlah dan berdakwah dengan penuh hikmah melalui akhlak dan berilmu.

"Jangan boikot mengikut perasaan sekali gus memburukkan Islam dengan akhlak kita sendiri tanpa kita sedari," katanya.

Digam' stesen TV

Beralih kepada soal kerjaya seninya, Corrie mengakui yang dirinya masih lagi di gam oleh sebuah stesen televisyen (TV) gara-gara dirinya dituduh sebagai ahli politik pembangkang.

Begitu pun, suami kepada Fazema Mohd Fuad ini memberitahu, dia tidak risau mengenainya kerana rezeki ada di tangan ALLAH SWT.

Malah, dek kurangnya tawaran lakonan yang diterimanya, bekas pereka tari Akademi Fantasia itu kini sedang menjalankan perniagaan menjual lampu dari Korea bersama rakannya.
"Istimewanya lampu ini adalah kerana ia mampu menghalau serangga dan nyamuk yang menggunakan teknologi baru," katanya.

"Insya-ALLAH, untung daripada bisnes ini saya akan gunakannya sebagai dana untuk menerbitkan filem, drama dan telefilem saya sendiri selain mencuba untuk membeli slot stesen TV yang 'banned' saya," katanya

Katanya, ini adalah sebahagian perancangannya di kemudian hari dan saling di sokong oleh rakan kongsinya.

"Niat saya adalah untuk memberitahu stesen TV ini yang saya tidaklah terlalu mengharapkan 'job' daripada mereka.

"Saya juga boleh berusaha sendiri untuk melakukannya," katanya.

Ketika ditanya adakah dia sudah pun mempunyai syarikat produksinya sendiri, Corrie mengakui akan perkara tersebut.

"Ya, sudah ada. nama syarikat produksi saya Adam Corrie Production yang ditubuhkan sejak tiga bulan lalu.

"Buat masa ini, memang belum menerbitkan apa-apa lagi tetapi saya sudah ada konsepnya.

"Tahun ini, sasaran saya adalah untuk menerbitkan dua filem," katanya yang akan menerbitkan filem berunsur dakwah yang diselitkan dengan sindiran.

Serah pada ALLAH SWT

Rentetan daripada kejadian itu, pelakon filem Paloh ini memberitahu peristiwa berkenaan masih lagi menjadi igauan ngeri terhadap dirinya.

Ketika ditanya apakah tindakannya selepas ini, Corrie hanya menyerahkan segalanya pada ketentuan ALLAH SWT.

"Balik semula kepada ALLAH SWT. Perkara itu terjadi atas keizinan-NYA.

"Jika Dia tidak mengizinkannya, maka sudah pasti perkara ini tidak akan terjadi.

"Saya hanya mampu bersolat dan minta pada-NYA supaya Dia bagi petunjuk kepada pemfitnah berkenaan," katanya.

Tambahnya, dia sentiasa berdoa agar pihak yang menabur fitnah kepada dirinya mendapat taufik dan hidayah dari ALLAH SWT supaya segera bertaubat.


petikan dari : Sinar Harian

Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails