TEMAN

Khamis, 21 April 2016

KEMBARA IMAN SAUDARA BARU 2 : MERIO






Perkongsian dari peserta umrah Kembara Iman Saudara Baru iaitu Muhammad Merio Ulin.
Beliau sebelum kembali kepada fitrah / memeluk Islam , seorang yang sangat benci dan menentang Islam. Tapi atas berkat doa abang kandungnya yg telah syahadah inginkan beliau menjadi seorang Muslim.
Alhamdulillah ... selepas abangnya meninggal dunia beliau kembali kepada fitrah
🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃
Assalamualaikum semua,
Pengalaman dan peluang menjadi tetamu Allah di Baitullah adalah impian buat semua umat Islam di seluruh dunia termasuk diri saya sendiri. Disini saya nak kongsikan “ my spiritual journey to Mecca & Medina” atau kembara Iman ku ke tanah suci dari sudut pandangan seorang muallaf atau saudara baru.
Dari rumah lagi hati saya dah berdebar-debar, perasaan yang bercampur baur, teruja, gemuruh dan sebak pun ada, sesampai sahaja peserta kembara iman di bangunan perkim hati saya masih bertanya-tanya betul ke aku ni nak ke Makkah? Pada masa itu hati tak putus-putus berdoa betapa bersyukurnya saya dipilih dan ditaja menjadi salah seorang peserta Kembara Iman Saudara Baru siri ke 2. Bila pandang muka abang ADAM CORRIE dan AJK Kembara Iman hati saya jadi sayu sebab terdetik dalam hati saya ada juga insan yang berhati mulia bersengkang mata pagi petang siang malam cari dana semata-mata ingin membawa kami menunaikan ibadah umrah. MasyaAllah.. semoga Allah berkati dan rahmati mereka semua. Amiin..
Perjalanan dari Malaysia ke Jeddah lebih kurang 8 jam, sepanjang perjalanan dalam kapal terbang kami disuruh berzikir dan berselawat banyak-banyak dan apa yang seronoknya apabila saya dapat menimba pengalaman baru didalam kapal terbang iaitu berwuduk , bersolat dan memakai ihram dalam kapal terbang pengalaman itu sangat-sangat bermakna buat saya. Tapi apa yang menariknya bila tiba masa berniat ihram dan ketika melalui kawasan miqat Qarnul Manazil Suasana dalam kapal terbang jadi sangat senyap dan tenang. Dalam hati saya terasa sebak sangat ya Allah aku semakin hampir dengan rumah mu dan jadikanlah umrah aku ini umrah yang mabrur.. amiin..
Setiba di Airport Jeddah tiada masalah semua dipermudahkan dan kami pun bergerak ke Makkah perjalanan mengambil masa 1 jam lebih ke kota Makkah . dalam bas kami beramai-ramai melafaz talbiah:
Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni’mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak
Erti bacaan talbiyah:
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu…
Dalam masa sejam itu ada kalanya tertidur sebab penat, bila bangun sahaja dah sampai hotel penginapan. Sesampai sahaja di hotel, kami diberi masa satu jam sahaja untuk simpan bagasi dan turun berkumpul di lobby hotel umtuk menunaikan umrah. Masa tu rasa teruja sangat-sangat dan tak sabar nak masuk ke pekarangan Masjidil Haram dan nak melihat Kaabah. Rombangan kami masuk ke Masjidil Haram diiringi mutawif yang berpengalaman dari Indonesia.
Hati cukup berdebar apabila detik-detik menuju ke kaabah, masa itu saya tak putus-putus berzikir dan berdoa minta supaya dipermudahkan semua ibadah di situ, bila sesampai sahaja di pintu masuk menuju ke Kaabah saya boleh nampak Kaabah akan tetapi dilindungi oleh Mataf (Jejantas sementara yang di bina mengelilingi Kaabah untuk orang yang mengunakan kerusi roda). Dalam hati makin berdebar semakin hampir dengan kaabah dan berdepan dengan lautan manusia pelbagai bangsa dari seluruh dunia. Mula-mula melihat kaabah rasa seronok sangat dan akhirnya kiblat orang islam berada di depan mata saya alhamdulilah.. besar juga Kaabah ni yer itulah ayat pertama terdetik dalam hati sambil berasak-rasak dengan manusia lain bertawaf mengelilingi Kaabah.
Pusingan pertama dan kedua tawaf, saya tak boleh nak fokus sebab terlalu gelisah kerana berasak-rasak dengan ramai manusia dan hanya mampu berdoa dan berzikir. Tiba-tiba saya teringatkan pesanan ustaz “the power of dhua” di Makkah kalau kita berdoa minta dipermudahkan insyaAllah dipermudahkan dan itu yang saya lakukan. masyaAllah.. lepas berdoa minta Allah permudahkan segala-galanya dipermudahkan mungkin doa saya telah dimakbulkan dan semua jadi sangat mudah serta orang ramai tidak berasak-rasak dengan saya.
Dalam masa yang sama, saya cuba berdoa, persoalan yang saya dah lama simpan “Dimanakah kamu Ya Allah”. Persoalan ini selalu menganggu saya ketika hendak solat dan mengugat akidah saya sebagai seorang Islam. Dikesempatan saya sudah berada di dekat dengan Kaabah saya mengangkat tangan sambil memandang Kaabah “ Ya Allah ya Tuhan kami, berikan aku merasai kehadiranmu walaupun aku tak dapat melihat kamu dan aku berjanji aku akan bertaqwa dan akan sentiasa menyembahmu ya Allah” dan secara tiba-tiba apabila masuk ke pusingan yang ke 6 dan sambil saya berjalan dari rukun Yamani menuju ke rukun Hajar Aswad tiba-tiba hati saya jadi sayu seperti disayangi, damai, aman, nyaman dan sangat tenang sekali dan ketika itulah air mata saya jatuh buat pertama kalinya dan saya menangis sepuas-puas di sisi Kaabah sambil berdoa dan bertawaf. SubhanAllah pujian bagimu ya Allah indahnya kebesaranmu ya Allah..
Habis tawaf sahaja kami menuju ke bukit Safwa dan Marwa untuk Saie pula.. Saie banyak mengingatkan kita pada kesusahan Siti Hajar mencari air ketika zaman Nabi Ibrahim. Membuat Saie lebih santai dari bertawaf di kawasan Kaabah, kawasan kaabah ramai orang manakala di kawasan saie agak kurang sedikit. Selesai saja Saie, saya dengan sahabat saya Qayyum Ong terus pergi cari gunting untuk bertahalul. Untuk pengetahuan semua masa umrah pertama memang saya tak cukur rambut saya dan saya tidak tahu kenapa.. hehehehe.. apabila saya membuat umrah yang kedua iaitu badal umrah untuk arwah abang saya baru saya cukur botak kepala saya. Umrah ini cukup bermakna buat saya sebab arwah semasa sakit pernah berjanji akan membawa saya untuk menunaikan umrah sekiranya dia sihat nanti akan tetapi Allah lebih menyayanginya dia pergi meninggalkan kami dan untuk pengetahuan anda juga hanya saya dengan arwah abang saya sahaja yang memeluk islam dalam keluarga kami. Alhamdulilah mungkin doa dia dimakbulkan dan saya sudah berada di Makkah atas jemputan Allah S.W.T.. SubhanAllah, Alhamdulilah, Allahuakbar..
Di kota Makkah saya banyak habiskan masa dengan beribadah, saya dah niat takkan shopping di Makah dan hanya akan shopping di Madinah sahaja., dan ia lebih membuatkan saya lebih fokus dengan beribadah. Selepas kejadian pertama umrah saya yang pertama saya menjadi semakin teruja dan bersemangat untuk bersolat dan bertawaf, kalau diizinkan buat 10 kali umrah pun saya sanggup. Seawal 2 pagi saya akan bangun dan berjalan menuju ke Kaabah adakala saya berzikir dan tertidur dan adakalanya saya bertawaf sampai ke subuh tanpa rasa lelah, semua ini tidak akan berlaku sekiranya saya berada di tanah air dan saya ambil kesempatan ini untuk melakukan segala ibadah dan minta pengampunan serta meminta Allah memakbrurkan umrah saya. Meninggalkan kota Makkah dan mengucap selamat tinggal pada kota Makkah adalah sesuatu yang sangat menyedihkan saya akan sentiasa merindui setiap detik dan pengalaman pertama di kota Makkah.
Sebenarnya banyak yang ingin dikongsikan cerita pengalaman sepanjang saya berada di Makkah, nanti tak pasal-pasal jadi novel pula hehehee.. insyaAllah saya akan kongsikan lagi dimasa akan datang.
Manakala pengalaman saya di Madinah pulak tidak sesibuk di kota Makkah, di Madinah Suasana lagi lebih tenang dan tidak sesak berbanding di Makkah dan cuaca di Madinah ketika kami sampai agak sejuk. Di Madinah kami banyak melawat kubur Rasullulah S.A.W dan para Sahabat dan bersolat dikawasan raudhah bersebelahan dengan makam Rasullulah S.A.W dan para sahabat. Kalau sampai ke sini godaan untuk bershopping sangat tinggi, jadi sentiasa ingatkan diri sendiri ketika bershopping nanti tak pasal-pasal terlebih muatan hehehe…
Sepanjang berada di Makkah dan Madinah kami diberikan taklimat, tunjuk ajar serta bimbingan dan usrah oleh Ustaz dan Ustazah yang hebat-hebat belaka, mereka adalah Ustaz Fakrudeen, Ustazah Asmak & Ustaz Rusydi Ramli. Kenapa saya kata hebat, sebab mereka faham kehendak saudara baru, situasi saudara baru dan perasaan saudara baru. apa yang disampaikan oleh mereka amat mudah difahami untuk kami sebagai saudara baru. apa permasalahan dan soalan yang selalu bermain diminda dijawab dengan cukup berkesan serta sangat manfaat kepada kami yang baru memeluk Islam. Terima kasih Ustaz dan Ustazah kerana membimbing kami dengan tanpa jemu ketika kami disana, semoga Allah merahmati anda semua amiin yaraabal alaamin.
Sebenarnya banyak perubahan yang berlaku selepas balik dari umrah, bukan sahaja saya sendiri rasai malah saudara mara dan rakan-rakan pun perasan. Semasa balik dari umrah banyak perkara saya pelajari dan selami membuatkan diri saya lebih insaf dan bertaqwa kepada yang maha pencipta. Hikmah selepas balik dari umrah adalah saya semakin yakin dengan akidah dan fahaman Islam sebenar, dulu saya selalu meragui kebenaran islam dan ada suatu ketika itu saya rasa ingin kembali ke agama asal. Alhamdulilah sekarang baru saya faham kenapa abang Adam Corrie beria-ria mencari penaja dan dana membawa saudara baru menunaikan umrah, rupa-rupanya inilah tujuannya demi Allah saya katakan selepas sahaja balik dari umrah saya bukannya Muhammad Merio Ulin yang dulu, saya lebih rajin bersolat kalau tak solat saya akan rasa bersalah dan berdosa sangat, selain itu, saya sudah berjinak2 mendalami ilmu islam dengan membaca serta mengikuti taskirah dan apa jua majlis ilmu saya akan pergi. Saya juga sudah rajin mengajak kawan-kawan Islam bersolat. Bunyi macam poyo tapi itulah kebenarannya, dan alhamdulilah setelah lebih 18 tahun saya merokok akhirnya saya sudah berhenti merokok dan tinggalkan tabiat menghisap vape. Teramatlah bersyukur kerana dipilih menjadi peserta kembara iman musim yang kedua ini.
Harapan saya agar kembara iman ini sentiasa dapat diteruskan di masa akan datang dan mendapat lebih ramai penaja serta memberi peluang kepada lebih ramai saudara baru untuk mengenali lebih dekat dakwah Rasullulah serta menguatkan akidah mereka dengan membawa mereka ke tanah suci.
Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga buat Team Kembara Iman terutama Adam Corrie, Puan Fazi, Puan Shila Lama, Ustaz Sulhi dan Saudara Muhammad Umar kerana membantu diri saya yang hina dan serba kekurangan ini kembali ke jalan yang benar dan jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan tidak lupa juga kepada Ustaz Fakrudeen, Ustazah Asmak dan Ustaz Rusydi Ramli yang banyak membimbing serta memberi tunjuk ajar semasa kami sepanjang kami disana. Yang terutama sekali jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penaja kami iaitu JAKEL, HALCENT DISCOVERY, CELLMAXX, ASOKE FINANCE dan ramai lagi, hamba-hamba Allah yang sudi menyumbang menjayakan kembara iman ini, dan kami akan sentiasa mendoakan anda semua dan sampai mati pun kami tidak akan lupa jasa dan budi baik kalian semua, insyaAllah kami akan sentiasa berdoa kepada anda semua supaya dirahmati dan diberkati oleh Allah S.W.T amiin yaraabal alaamiin.. wasalam







Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

link

Related Posts with Thumbnails